Cetuskan elemen pendidikan
by Reno Benjamin. Posted on December 14, 2013, Saturday
SIBU: Kementerian Pelajaran tidak pernah menghalang atau memihak kepada mana-mana badan taekwando mengajar serta melatih seni bela diri itu kepada pelajar di semua sekolah di seluruh negara.
Timbalan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran Malaysia, Mohd Anuar Abdul Hamid berkata keadaan juga sama kepada mana-mana badan atau kegiatan seni bela diri yang lain di negara ini.
“Kita tidak ada halangan mana-mana badan taekwando untuk mengajar di sekolah. Ini kerana, kita lebih melihat kepada elemen pendidikan dan selagi ia memenuhi agenda pendidikan negara,” katanya ditemui pada Majlis Anugerah Atlet Taekwando Peringkat Negeri Sarawak MTA/WTF 2013 di sini, malam kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan mengenai hanya badan taekwando tertentu boleh mengajar di sekolah-sekolah sementara badan-badan taekwando lagi tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.
Menurut Anuar, kementerian juga sedar bahawa tidak semua badan taekwando mempunyai jurulatih yang ramai meliputi lebih kurang 10,000 sekolah di seluruh negara mempunyai 5.4 orang juta pelajar.
Dengan mana-mana badan-badan taekwando yang berdekat katanya, boleh memberi khidmat mengajar seni bela diri itu kepada para pelajar di sekolah-sekolah.
“Kita tidak melihat semua ini sebagai satu sukan semata-mata, tetapi lebih kepada mendidik anak-anak melalui seni bela diri,” jelasnya sambil menegaskan semua badan seni bela diri boleh mengajar di sekolah.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran membenarkan kegiatan seni bela diri di sekolah kerana percaya melalui kegiatan yang menyeronokkan itu boleh membantu anak-anak yang sedikit agresif meluahkan perasaan mereka.
Selepas menyertai aktiviti seni bela diri, mereka tidak lagi menjadi anak-anak yang liar serta lebih berdisiplin memandangkan semua seni bela diri mementingkan soal disiplin.
“Namun ramai yang merasakan jika kita ajar anak-anak dengan seni bela diri, mereka akan terlibat dalam pergaduhan atau gangsterisme. Ini semua tidak benar kerana lebih banyak anda belajar seni bela diri, anda akan mengelak diri daripada bertindak agersif.
“Oleh itu, Kementerian Pelajaran mengiktiraf kegiatan seni bela diri di sekolah. Cuma yang tidak boleh adalah belajar menggunakan senjata,” jelas beliau.
Anuar juga memberitahu, badan seni bela diri yang mahu mengajar di sekolah juga harus berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau Majlis Sukan.
Hadir sama mahaguru Lee Byung Hee dari ibu pejabat Taekwando di Korea, Setiausaha Agung Persatuan Taekwando Malaysia (MTA) Eddie Tuan, pengerusi Persekutuan Taekwando Sarawak (STF) Dr Henry Toh serta yang lain.
Read more: http://www.theborneopost.com/2013/12/14/cetuskan-elemen-pendidikan/#ixzz2nQ9JFgd3
No comments:
Post a Comment