Mahkamah putuskan MTA masih pertubuhan sah
KUALA LUMPUR - Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) mengesahkan mereka memiliki bukti kukuh bahawa pertubuhan itu masih lagi merupakan badan induk sukan taekwando yang sah di negara ini dan turut menyangkal dakwaan Taekwando Malaysia (TM) yang mereka bukan lagi ahli Persekutuan Taekwando Dunia (WTF).
Menurut Setiausaha Agung MTA, Eddie Tuan, pihaknya tidak pernah menerima sebarang surat daripada WTF yang menyatakan bahawa MTA bukan lagi ahli gabungan badan induk dunia sukan tersebut dan segala yang didakwa oleh Timbalan Presiden TM, Samson Maman di sebuah akhbar (bukan Utusan Malaysia), baru-baru ini adalah tidak benar.
"Saya datang ke sini untuk menjelaskan keadaan dan menjawab segala dakwaan Samson bertarikh 14 November lalu, seterusnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) boleh mengembalikan status penuh kepada kami agar tiada pihak boleh melabel MTA persatuan haram," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jelasnya, tidak ada sebarang surat yang diterima oleh MTA daripada WTF dan dakwaan Timbalan Presiden TM itu adalah tidak benar sama sekali, memandang pihaknya mempunyai dua perintah daripada Mahkamah Tinggi bertarikh 4 April 2012 dan Mahkamah Rayuan 16 Mei 2013.
"Berdasarkan laman web WTF, keahlian Malaysia adalah sejak 1975. Ini bermakna keahlian tersebut merupakan status MTA bukannya TM. Dimanakah TM ketika itu?
"Dia (Samson) dakwa kita persatuan haram tetapi saya hendak tekankan di sini, sesiapa sekali pun perlu menghormati perintah mahkamah, ini bermakna dia bukan melawan kita tetapi melawan perintah mahkamah, undang-undang negara mesti dipatuhi. Saya juga ingin membongkarkan satu surat daripada MOM yang bertarikh 4 April 2013 bahawa keahlian kami telah dibatalkan sejak 6 Mei 2005.
"Sudah lapan tahun, tetapi baharu dapat surat dan Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi memohon maaf di atas kelewatan surat tersebut. Jika kami dibatalkan pada tarikh itu, tetapi mengapa pada 4 Januari 2008 mereka menghantar satu lagi surat sokongan kepada Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa MTA boleh mengajar taekwando di sekolah-sekolah di Malaysia," tegasnya.
Menurut Eddie, selepas perintah mahkamah itu, dia merayu agar Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail mengeluarkan surat pengesahan kepada MTA seperti mana yang dilakukan oleh bekas pesuruhjaya sukan sebelum ini yang memberi hak kepada TM.
"Pesuruhjaya Sukan ada mengeluarkan surat pada 16 Julai bahawa MTA dikembalikan sebagai badan sukan yang sah di bawah Akta Badan Sukan, jadi bagaimana pula TM mendakwa kami badan sukan yang haram, ini bermakna dia melawan arahan Pesuruhjaya Sukan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment