MTA masih ahli utama kepada WTF
From Utusan Borneo
Posted on December 25, 2013, Wednesday
SIBU: Persekutuan Taekwondo Sarawak (STF) yang merupakan badan gabungan kepada Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA), masih lagi menjadi ahli utama kepada Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF).
Setiausaha Agung MTA Eddie Tuan berkata, MTA tidak pernah menerima surat daripada WTF yang mengatakan mereka bukan lagi ahli gabungan kepada badan induk taekwando dunia itu.
“Untuk makluman semua pihak, dalam laman sesawang WTF, MTA direkodkan telah menjadi ahli sejak tahun 1975. Ini adalah status MTA dengan WTF.
“WTF sehingga kini belum ada menghantar sebarang surat kepada MTA bagi membatalkan perggabungan itu. Jadi kepada mana-mana pihak yang sering mempertikaikan status STF, kita berharap mereka jelas mengenai perkara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam.
Eddie berkata, STF juga tidak pernah membuat apa-apa kenyataan mengatakan bahawa ia adalah ahli kepada Taekwondo Malaysia (TM) sebelum ini, sebaliknya merupakan ahli kepada MTA.
“Saya perlu membuat penjelasan ini untuk menjawab dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden TM Datuk Samson David Maman dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.
“Sebenarnya apa yang berlaku, terdapat kesilapan fakta dalam laporan akhbar mengenai aktiviti STF sebelum itu yang menjurus kepada salah faham itu,” katanya.
Eddie menambah, MTA kini berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengembalikan statusnya sebagai ahli biasa MOM memandangkan MTA masih sebuah badan sukan yang sah.
“Keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 April 2012 dan Mahkamah Rayuan pada 16 Mei 2013 telah memihak kepada kita. Saya ingin tekankan di sini yang semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah itu.
“Kita juga mempunyai surat daripada Suruhanjaya Sukan pada Julai baru-baru ini mengesahkan bahawa MTA adalah badan sukan yang sah di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Tetapi kita belum lagi disahkan sebagai badan induk sukan taekwondo,” jelasnya.
Eddie juga memberitahu, persatuan juga telah menerima surat daripada MOM bertarikh 4 April 2013 yang menyatakan bahawa keahliannya telah dibatalkan sejak 6 Mei 2005 .
“Namun kita berasa pelik mengapa Setiausaha MOM Datuk Sieh Kok Chi mengambil masa lapan tahun untuk memberitahu kita perkara ini di mana sebab-sebabnya hanya beliau sendiri yang tahu,” ujarnya.
Tetapi pada 4 Januari 2008, Eddie menambah MOM ada menghantar surat lagi kepada Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan yang menyokong MTA untuk mengajar taekwondo di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Menyentuh mengenai hala tuju MTA, beliau memberitahu persatuan akan lebih menumpukan kepada seni mempertahankan diri untuk jangka masa panjang dan bukannya sebagai satu sukan.
“Kami mahu menjadikan taekwondo ini sebagai satu seni mempertahankan diri untuk menyemai nilai-nilai yang baik, selain memberi kecergasan fizikal di kalangan pengamal,” katanya.
Read more: http://www.theborneopost.com/2013/12/25/mta-masih-ahli-utama-kepada-wtf/#ixzz2oTR5uTeu