Arena
Skuad taekwondo raih 4 emas
Sibu: Malaysia berjaya meraih empat pingat emas, dua perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Taekwondo Terbuka Kebudayaan Zon Asia Kedua di Guangzhou, China, yang berakhir Selasa lalu.
Kejohanan itu mendapat pengiktirafan Persekutuan Taekwando Dunia.
Naib presiden/grandmaster Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) Dr Henry Y K Toh berkata, kira-kira 1,500 peserta lebih 10 negara Asia, termasuk negara gergasi sukan itu, Korea Selatan, menyertai kejohanan itu.
Katanya Malaysia menghantar 17 atlet, 10 daripada mereka mengambil bahagian dalam acara ‘poomsae’ (pola) manakala selebihnya dalam acara ‘kyorugi’ (sparing bebas).
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat dua anak Sarawak yang memenangi pingat emas pada kejohanan itu.
Mereka ialah Wong Tiong Yung dan Lucas Chieng Tiew Lik.
Dr Toh berkata, kemenangan dicapai skuad negara sangat penting bagi MTA dalam usahanya mendapatkan kembali kedudukan sebagai badan pengawal kebangsaan sukan itu.
“Suruhanjaya Sukan mengiktiraf kami sebagai sebuah badan sukan kebangsaan. Kami harap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menerima kami kembali sebagai anggotanya,” katanya yang juga ketua pengarah teknikal Persekutuan Taekwondo Sarawak yang menjadi anggota bersekutu MTA. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment