Thursday, 19 April 2012

MTA is BACK!

MTA KEMBALI SEBAGAI BADAN INDUK TAEKWONDO


KUALA LUMPUR - Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) telah dikembalikan semula kuasa sebagai badan induk sukan itu di negara ini selepas Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran mereka pada 2010.

Bekas Naib Presiden MTA, Nur Ekmal Buhary berkata, persatuan itu dapat dihidupkan semula berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Rabu lalu, yang membenarkan permohonan semakan kehakiman pembatalan pendaftaran dan memberi perintah'certiorari' dalam kes itu.

"Perintah Mahkamah Tinggi itu bermaksud MTA kembali kepada status quo," kata Nur Ekmal, semalam.
MTA dalam satu kenyataan semalam berkata, kemelut MTA bermula apabila Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran persatuan itu pada Februari, 2010 kerana didakwa menghalang pembangunan sukan taekwondo di negara ini.

MTA kemudian membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997. Bagaimanapun, menteri berkenaan mengekalkan keputusan Pesuruhjaya Sukan.

Pada Julai 2011, MTA menerusi bekas presidennya Raja Taharuddin Raja Nong Chik dan Nur Ekmal, MTA telah memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan mendapatkan perintah 'certiorari' bagi membatalkan kedua-dua keputusan Menteri Belia dan Sukan dan Pesuruhjaya Sukan itu.

"Rabu lalu (4 April) merupakan hari bersejarah bagi MTA kerana Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Rohana Yusof membuat keputusan berpihak kepada kami," menurut kenyataan itu.
Peguam Kanan Persekutuan Ida Masliza mewakili pihak responden manakala MTA diwakili oleh peguam David Soosay.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Nur Ekmal berkata, MTA sedia melupakan apa yang telah berlaku sebelum ini dan berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Pesuruhjaya Sukan dalam membangunkan masa depan sukan taekwondo di negara ini. - BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm